Ciri-ciri morfologi Pokok_Macang

Pokok bacang adalah jenis pokok saka yang tumbuh menegak dengan ketinggian 15-25 meter serta mampu tumbuh sehingga 30 meter dan bentuk pokoknya adalah bercabang dan rendang. Batangnya merupakan jenis kayu keras yang mempunyai ukur lilit batang 70-150 cm dan mempunyai kulit tebal berwarna coklat serta mempunyai alur di bahagian pangkal pokok. Kelainan pada pokok bacang adalah kerana semua bahagian pokok dari batang, daun, dahan dan buahnya akan mengeluarkan cecair yang apabila terkena kulit akan rasa gatal-gatal terutama di kawasan sensitif atau kulit nipis. Lendir yang keluar ini mula-mula jernih kemudian akan jadi kemerahan apabila berlaku teroksidan dengan udara.

Perbandingan buah bacang (kiri) dengan kuini (kanan)

Daun pokok bacang adalah agak keras atau kaku seperti bahagian kulit batang dan berwarna hijau gelap lonjong tirus dengan 2-8 cm lebar dan 9-15 cm panjang. Daun yang tebal dan keras ini seakan berkilat di bahagian atas. Daun bacang yang tua akan gugur sendiri apabila cukup masa. Bunga bacang didapati banyak dikeluarkan dalam tangkai panjang seperti piramid sehingga 30-40 cm dan bunga keluar dari tangkai tersebut. Bunga yang berwarna putih kemerahan ini mempunyai 5 kelopak yang berukuran 4-5 mm lazimnya didebungakan oleh ejen pendebunga seperti langau, semut, kerengga, lebah dan juga angin. Pengeluaran bunga dari hujung tangkai daun dengan banyak pada bulan Mac- April setiap tahun di Malaysia iaitu selepas musim kemaru dan agak panas.

Buah bacang ialah berbentuk bulat lonjong dengan kulit tebal dan ada bintik-bintik lentisel berwarna coklat. Selalunya keseluruhan buah muda berwarna hijau dan buah matang berwarna hijau kekuningan dan kadang-kadang ada kesan lendir coklat gelap akibat luka. Saiz buah bacang bergantung kepada kesuburan pokok iaitu lingkungan 8-12 cm ukur lilit dan 10-16 cm panjang. Buah yang cukup masak ranum akan gugur sendiri dan dengan kulitnya yang keras dan tebal ianya tidak rosak walaupun jatuh dari ketinggian lebih 10 meter kerana daun dan semak samun boleh menjadi sebagai kusyen semasa ia jatuh. Buah yang masak mempunyai isi berwarna kuning kejinggana dan mengeluarkan aroma atau bau bacang yang sangat kuat. Kalau disimpan dalam rumah maka semua kawasan keliling dan jiran tetangga akan berbau kuat buah bacang.

Buah bacang juga menghasilkan cecair atau getah jika terkena bibir akan menyebabkan rasa gatal-gatal dan boleh menyebabkan bibir terluka kerana getah tersebut. Hendaklah dipastikan sebelum hendak makan buah bacang dibuang kulit dengan bersih dan kemudian dibasuh sehingga bersih. Isi buah yang berwarna kuning jingga ini adalah mempunyai rasa manis masam, banyak serat atau urat-urat sari yang akan terselit di celah gigi jika digigit. Urat-urat ari melekat pada biji bacang ditengahnya yang agak keras dan berukuran 10-12 cm panjang dan berbentuk leper.